Thursday, 9 April 2015

PENYAKIT KAKI-TANGAN-MULUT ( HAND FOOT MOUTH DISEASE ; HFMD )

Info penting buat semua parents, PLZ take note dan jangan ambil mudah ye.. Sila sayang dan jaga anak kita


HFMD adalah penyakit penularan enterovirus yang biasa menyerang kanak-kanak. Kebiasaannya penyakit ini tidak serius tetapi mengundang kebimbangan keluarga; dan yang paling utama boleh merebak dan menjangkiti anak-anak lainnya.
Penyakit ini biasanya merebak melalui sentuhan dengan cairan badan seperti kahak, hingus, air liur, cairan kulit, najis dan sebagainya.
Tanda-tanda (gejala; symptoms) penyakit HFMD:
Ruam pada tangan, kaki, mulut
Ulser dalam mulut
Demam
Letih lesu
Sakit kepala atau perut
Kurang selera makan
Cirit
Dehydration (kekeringan)
Walaupun begitu, ada peratusan kecil, penyakit ini boleh membawa kepada komplikasi yang lebih serius seperti jangkitan kuman selaput otak (meningitis / encephalitis), radang / jangkitan peparu (pneumonitis / pneumonia) dan radang jantung (myocarditis).

Kebiasaanya, penyakit ini tidak serius, tanpa sebarang komplikasi yang membimbangkan dan sembuh sepenuhnya.
Dari segi rawatan, kebanyakkan pesakit dirawat sebagai pesakit luar tanpa perlu kepada kemasukkan ke dalam hospital. Rawatan lebih tertumpu kepada perawatan gejala penyakit seperti ubatan demam, ubatan topikal untuk ulser mulut, pemerhatian kepada gejala komplikasi yang lebih serius dan memastikan hidrasi dan nutrisi pesakit diteruskan. Juga, keluarga perlu lebih prihatin pada faktor kebersihan (hygiene) dan mengelakkan penularan penyakit tersebut.
Namun begitu, ada ketikanya yang pesakit-pesakit ini perlu dimasukkan ke dalam wad (hospitalisation) untuk pemerhatian dan rawatan lanjut, antaranya ketika:
Tidak boleh makan / minum / dehidrasi
Gejala (symptoms) penyakit yang serius / keadaan pesakit yang terlalu lemah (membimbangkan)
Demam berterusan
Mengesyaki penyakit lain yang lebih serius (mimik HFMD)
Mengesyaki komplikasi saraf (meningitis / encephalitis), jantung (carditis), peparu (pneumonitis / pneumonia)
Faktor keluarga – seperti tidak berupaya untuk pantau / teruskan rawatan di rumah, kekurangan bantuan keluarga.
Nasihat am untuk keluarga:

Bawa anak berjumpa doktor jika syaki anak menghidapi HFMD, dan ikut nasihat doktor tentang rancangan perawatan pesakit
Pemberian ubat demam dan ubatan lain mengikut nasihat doktor
Pastikan anak minum air dengan cukup dan juga makanan / nutrisi lain. Galakkan anak untuk minum dan makan walaupun akan ada sedikit kesukaran seperti ulser mulut. Cuba beri diet lembut seperti bubur, pudding, aiskrim dan galakkan minum air sedikit-sedikit tetapi kerap kali.
Sentiasa pantau keadaan anak :-
Fokus kepada demam (terlalu panas? Demam berterusan? Tidak respon dengan ubatan?),
Hidrasi (tidak cukup makan / minum? Kencing kurang? Lemah? Cengkung mata? Ulser mulut menganggu diet?),
Keadaan am anak (terlalu lemah? Tidak bermaya? Penyakit semakin serius? Muntah / cirit berterusan?),
Gejala saraf (terlalu tidak bermaya? Tahap kesedaran kurang? Perangai berubah luar kebiasaan? Meragam tanpa henti? Sawan? Pergerakkan tidak normal pada otot / anggota badan?)
Gejala pernafasan (kesukaran bernafas? Nafas laju? Batuk berterusan? Batuk berdarah?),
Gejala jantung (debaran jantung kencang? Berpeluh dengan kuat? Sukar bernafas? Kepucatan? Nadi lemah?), penyakit / gejala (symptoms) berlarutan atau apa jua gejala yang membimbangkan keluarga
–> BAWA SEGERA KE HOSPITAL!

Langkah pencegahan penularan penyakit:
Sebaiknya tidak hantar kepada pengasuh / nursery / tadika / sekolah
Kerap cuci tangan degan sempurna setiap kali selepas bersentuhan dengan pesakit / cairan dari pesakit (termasuk najis, kencing, kahak dan sebagainya)
Isolasi / pengasingan sewajarnya
Tidak berkongsi alatan seperti cawan, sudu, garpu, picagari ubatan dan sebagainya)
Membasuh alatan, cadar (dan alatan lain yang bersentuhan / digunakan pesakit) dengan sempurna
Sentiasa bersedia untuk bawa pesakit ke hospital / pakar kanak-kanak untuk rawatan lanjut.

1 comment:

  1. Nice info.. Ank sdara pnh kena sekali...moga kita semua dilindungi..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...