AIR minuman detox atau juga dipanggil Infusion Water bukanlah baharu dan telah ada sebelum ini, namun kini ia menjadi bualan semula pengguna.
Menyedari minuman tersebut mempunyai pasaran dan boleh dijual, peniaga tidak melepas peluang untuk menjualnya.
Pengguna juga sudah tidak perlu bersusah payah menyediakan sendiri air detox memandangkan ia boleh dibeli sama ada di kedai atau secara atas talian.
Penyediaan air detox tidaklah rumit. Bahan-bahannya juga mudah didapati. Hanya meletakkan beberapa hirisan buah lemon dan limau nipis ke dalam bekas berisi air kosong. Daun pudina juga menjadi pilihan untuk mendapatkan kesegaran sitrus.
Kerana itu, rata-rata pengguna lebih suka menyediakan sendiri air detox ini.
Lebih gemar sediakan sendiri
Pereka bebas, Amalia 'Izzati Shariffuddin, yang menggemari air detox berkata, dia mula mengambil minuman tersebut setelah menyedari amalan pemakanan dan peminumannya yang tidak betul.
Menurut Amalia ‘Izzati, dia menggemari air detox dengan tambahan hirisan buah strawberi di dalamnya.
“Saya buat sendiri air detox untuk memastikan kesegarannya selain dapat tentukan sendiri kuantiti buah-buahan yang diinginkan.
“Setiap buah ada kebaikannya. Saya memilih strawberi kerana khasiatnya yang bagus untuk kulit dan membantu melawan bahan karsinogen,” katanya.
Dia turut berkongsi pendapat mengenai trend minuman detox yang dikatakan berkesan menyingkirkan toksin dalam badan dan mampu memberi kesihatan yang baik kepada peminum.
“Pada saya, tak salah kalau kita ikut trend terutamanya melibatkan kesihatan dan berkhasiat memandangkan amalan pemakanan rakyat Malaysia sekarang banyak tidak terjaga,” katanya.
Air detox lawas penghadaman
Menurut seorang penasihat jurujual, Nazatul Fitriah Hamzah, air detox diambil untuk melawaskan penghadamannya selain mengurangkan berat badan dan menyingkirkan toksin dalam badannya.
“Saya menggemari air detox berperisa lemon, oren dan pudina yang saya buat sendiri.
“Saya masih ingat pertama kali saya minum air detox, kepala pening dan pada hari berikutnya badan terasa ringan dan masalah sembelit saya makin berkurangan,” katanya.
Ditanya mengenai trend pengguna menggemari air detox, Nazatul Fitriah berkata semua orang boleh menyediakannya di rumah memandangkan ia bagus untuk kesihatan.
“Selain itu, ia juga menjimatkan duit kerana kosnya tidak tinggi, menyegarkan, selamat dan yang penting boleh dinikmati seisi keluarga,” katanya.
Alternatif kuruskan badan
Tidak memerlukan modal yang banyak bagi menguruskan badan dan penjagaan kulit, menyebabkan seorang peniaga sambilan Norhairuniza Zainal, menjadikan air detox sebagai minumannya.
Menurut Norhairuniza, air detox yang disediakannya menggunakan campuran hirisan buah lemon, timun, limau nipis dan daun pudina bagi menyingkirkan toksin.
“Pengalaman saya mengambil air detox amat berbaloi kerana ia berjaya mengurangkan berat badan dan di waktu sama, kulit saya menjadi halus,” katanya.
Norhairuniza berkata, bagi mereka yang kurang berkemampuan mengambil produk mahal, boleh mencuba kedah meminum air detox.
“Ia menjimatkan dan menyegarkan dan lebih baik jika kita sendiri menyediakannya daripada membelinya,” katanya.
Lebih selesa membeli air detox
Melihat iklan dan mendengar bualan daripada beberapa rakan sekerja mendorong Pegawai Khidmat Pelanggan Telekomunikasi, Mohd Riduan Ismail membeli air detox yang dijual di laman sosial.
Menurutnya, rakan-rakannya mengatakan air detox mampu menyingkirkan toksin dalam badan selain mengawal kenaikan berat badan.
“Saya menggemari air detox yang dicampur madu bersama hirisan lemon, limau nipis dan pudina yang memberikan rasa sitrus segar untuk aktiviti harian saya.
“Selepas mengambilnya, kebiasaannya saya akan ke tandas beberapa kali, selepas itu badan rasa ringan dan perut pun selesa,” katanya.
Ditanya mengapa tidak menyediakan sendiri air detox, Mohd Riduan berkata, kekangan masa dan kerja menyebabkan dia lebih selesa membelinya.
No comments:
Post a Comment